PENGENALAN
Majlis Bandaraya Kuching Selatan merupakan sebuah badan korporat yang ditubuhkan di bawah Ordinan Pihak Berkuasa Tempatan, 1996. Pentadbirannya merangkumi kawasan bandaraya Kuching Selatan. Seperti pihak berkuasa tempatan yang lain, Majlis Bandaraya Kuching Selatan bertanggungjawab untuk menyediakan perkhidmatan‐perkhidmatan asas kepada orang awam yang menetap di kawasan seluas 61.35 km persegi di bawah kawasan tadbirannya.Majlis ini diketuai oleh Datuk Bandar yang dibantu oleh Timbalan Datuk Bandar dan 25 orang ahli Majlis. Ahli‐ahli Majlis ini dilantik oleh Kerajaan Negeri untuk berkhidmat selama 2 tahun dan tempoh perkhidmatan mereka akan diperbaharui selagi perkhidmatan mereka masih diperlukan. Ahli‐ahli Majlis ini terdiri daripada komponen‐komponen parti politik Barisan Nasional di Sarawak yang bertanggungjawab menggubal polisi‐polisi Majlis dan memastikan kakitangan Majlis melaksanakan polisi‐polisi tersebut dengan sistematik dan berkesan. Majlis menjalankan pentadbirannya dengan menggunakan sistem jawatankuasa. Semua jawatankuasa akan mengadakan mesyuarat sekurang‐kurangnya sekali sebulan untuk membincang isu‐isu berkaitan dalam bidang jawatankuasa masing‐masing. Segala keputusan yang dibuat oleh setiap jawatankuasa akan dibentangkan semasa mesyuarat Jawatankuasa Induk pada setiap akhir bulan untuk diterimapakai oleh Majlis. Setiausaha Bandaraya menjalankan tugas sebagai Ketua Pegawai Tadbir dalam Majlis Bandaraya. Majlis ini dibahagikan kepada 6 bahagian iaitu Pentadbiran, Perbendaharaan, Bangunan dan Landskap, Kejuruteraan, Pencukaian dan Penilaian, Kesihatan Awam dan Pelesenan. Setiap bahagian ini diketuai oleh seorang Ketua Bahagian yang bertanggungjawab untuk mengawal belanjawan bahagian seperti yang diluluskan dalam Belanjawan Tahunan Majlis. |